~ Demi Masa ~

Tuesday, September 16, 2014

:: ~ OhAyO gOzAiMaSu ~ My JaPaN tRiP ::~

No one will understand a Japanese garden until you've walked through one, and you hear the crunch underfoot, and you smell it, and you experience it over time. Now there's no photograph or any movie that can give you that experience. - J. Carter Brown


Alhamdulillah.. Walaupun atas sebab tanggungjawab kerja, diri ini berpeluang untuk menjejakkan kaki ke bumi Ryogoku, Jepun. Sebuah daerah di Tokyo yang dikenali juga sebagai Bandar Sumo atau pusat dunia sumo. Di mana stadium sumo dan tempat daya tarikan sumo lain yang berkaitan boleh didapati. Ia adalah pusat dunia sumo. Buktinya, jika berjalan di waktu malam disekitar bandar, berkemungkinan besar akan bertemu dengan ahli-ahli sumo yang baru pulang latihan. Begitu gah berkimono. Malahan di sekitar bandar juga dihiaskan dengan ukiran-ukiran patung sumo.



Salute untuk Abam Sumo.. Bershopping dengan kimono.. Terasa sungguh berada di Jepun..
Menjejakkan kaki ke sini, seolah-olah menjejakkan kaki ke satu dunia yang berbeza. Bukan hanya dari segi bahasa, namun juga dari segi budayanya yang begitu terpelihara. Terkesima seketika dan tertanya-tanya, bagaimana sebuah negara yang mengamalkan cara hidup yang kelihatannya begitu sederhana, namun pada hakikatnya adalah sebuah negara yang maju. Kenapa ku katakan sebagai sederhana? Yang dapat ku amati, sebagai contoh, bilangan kereta di jalan raya amatlah kurang. Ini mungkin kerana kereta bukanlah pengangkutan yang utama. Mereka lebih gemar menaiki metro atau berbasikal. Malahan kawasan parkir basikal kelihatan di mana-mana adanya stesyen metro.

Mungkin pengamatan ku salah, kerana apa yang dapat ku lihat dinegara sendiri kereta adalah seolah-olah mempamerkan simbol status seseorang. Namun nampaknya ianya tidak seperti itu disini. Mungkin simbol status mereka di sini dibezakan dengan cara yang lain.

Namun begitu, walaupun jalan raya yang seluas itu kelihatan begitu lengang sekali, ia tetap tidak menjadi alasan untuk pengguna jalan raya untuk tidak mematuhi undang-undang. Mungkin itulah kunci utama penduduk disini. DISIPLIN. Sikap yang dididik dari kecil dan menjadi sebati di dalam budaya mereka.


Persekitaran di sini kelihatan sungguh aman dan selamat. Mana tidaknya, kanak-kanak yang mungkin semuda umur enam atau tujuh tahun sudah kelihatan amat berdikari menaiki metro sendiri ke sekolah. Namun begitu apa yang amat menarik perhatianku adalah bilamana di perkarangan utama sekolah akan ada seorang guru yang akan menyambut kedatangan pelajar ke sekolah. Setiap seorangnya disapa satu per satu. Bukankah itu amat indah, sudah semestinya para pelajar akan lebih rasa dihargai.

Ehhhh... Shin chan hihihihi.. Cute sungguh... 
Namun begitu, tidak lengkap sekiranya jika menyebut tentang Jepun tanpa menyentuh mengenai keindahan dan kebersihannya. Segalanya kelihatan begitu kemas dan teratur. Tumbuhan menghijau kelihatan di mana-mana. Betul kata bijak pandai, kita tidak akan tahu makna sebuah taman Jepun itu tanpa melaluinya dan menikmatinya sendiri. Mendengar bunyi batuan yang dipijak, menghidu bau segar tumbuhan yang menghijau serta mendengar bunyi deruan air dari kolamnya yang dipenuhi ikan-ikan kap yang bersenang-lenang berenang-renang. 


Melalui celahan-celahan pohonan yang menghijau dan jalan-jalannya, sukar sekali untuk melihat secebis sampah kecil dijalanan. Tamannya hanya dihiasi tanaman hijau berlantaikan batuan yang rapi tersusun dengan hanya kelihatan sedikit gugusan daun yang berguguran tiap kali angin bertiup nyaman. Tenang dan damai. 


Malahan dinding-diding yang mengelilingi persekitan stesyen metronya turut terhias dengan lukisan-lukisan 3D yang menarik. Keindahan hasil kreativiti manusia dan alam bersatu dalam satu kanvas dunia yang cukup indah. 

Lukisan di bawah ini menarik minatku. Mengambarkan nilai kekeluargaan yang utuh, Seolah-olah mengingatkan sesibuk mana pun menjalani hidup seharian. Keluarga tetap yang paling utama. Terserlah bertapa begitu banyak usaha yang telah diberikan untuk menjaga semua permata berharga ini. Budaya serta alam sekitar itu sendiri. 


Dengan kata lain, sejuk hati melihat cara hidup masyarakat Jepun ini. Dengan tidak disengajakan diri ini turut mengalami sendiri bukti kejujuran sikap mereka. Telefon yang tertinggal di dalam tandas pada waktu pagi tanpa disedari akibat kesibukan mesyuarat masih berada di situ bila ditemuinya di lewat petang. Ketepatan masa yang mereka amalkan juga sudah tidak disangkal lagi. Hati ini tertarik juga bila berurusan jual beli, duit untuk bayaran dan baki tidak akan diletakkan di tangan si pembeli tapi diletakkan di dalam bekas yang telah di khaskan. 

Kehidupan mereka seolah-olah mengamalkan sunnah yang diajar oleh Rasulullah saw kepada kita. Kekadang tertanya, sekiranya mereka boleh, kenapa tidak kita? Sedangkan kita yang lahir sebagai muslim ini sepatutnya mempunyai sikap yang sedemikian kerana sepatutnya terdidik dengan nilai Islam dari kecil lagi. Malu rasanya, andai nanti ditanya tentang ini diesok hari apakah agaknya jawapan yang dapat diberikan untuk menyelamatkan diri. 


Namun begitu, bila berkesempatan menjengah ke pusat bandar keadaan sedikit berbeza. Atau mungkin ianya adalah kesinambungan dari apa yang telah dilihat. Dari satu sisi, mereka tetap sama, namun seolah-olah mencari-cari sesuatu. Seperti yang sedia maklum masyarakat Jepun amat obses dengan anime. Pelbagai jenis anime dengan pelbagai 'gaya' dapat dilihat di mana-mana. Mungkin itu adalah kebiasaan yang tiada salahnya lagi bagi mereka. 


Kelihatan pusat-pusat video game juga adalah salah satu tempat yang sentiasa dipenuhi ramai. Tidak mengira umur mahukan status. Kelihatan juga ada yang lengkap berpakaian pejabat turut sama beratur di dalam barisan yang panjang untuk memasuki pusat berkenaan. Mungkin mereka mencari sesuatu untuk mengisi dalaman mereka. Wallahua'lam.. ku tidak pasti. Hanya telahan sendiri dari insan yang cetak pengalaman di bumi Jepun ini.

Apa-apa pun bagiku, Jepun adalah sebuah negara yang amat menarik untuk dilawati. Terlalu banyak yang dapat dipelajari dan diselami. Dengan izin Allah, moga-moga dapat lagi ku jejakkan kaki ke sana untuk lebih mengeksplorasi sisi lain Jepun selain dari apa yang sudah dilihat ini.

Tokyo Skytree - Pemandangan dari kaca mata burung - Dari hotel Dai-Ichi 
Moga-moga tercapai... Satu hari yang indah nanti...

~:: *** ::~