”Dunia penjara bagi orang Mukmin dan Syurga bagi orang kafir.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Teringat diri akan satu pesanan dari Ustaz Pahrol Mohamad Juoi :
Allah memberi peringatan kepada hambaNya dengan ujian kecil seperti membaling batu-batu kecil. Biar rasa sakit sikit untuk menguji samada hambaNya mengingatinya dan berusaha memperbaiki dirinya. Tapi jika si hamba masih alpa dalam mengingatiNya, Allah turunkan musibah umpama membaling batu blok, sebagai panggilan untuk menguji tahap keimanan kita.Walau mungkin bukan ayat itu yang dituturkan namun lebih kurang begitulah pesanannya.
Hakikatnya, kita tidak boleh lari dari kenyataan bahawa hidup ini adalah untuk menguji kita. Untuk itu jugalah dunia itu dicipta. Untuk menguji.
Siapalah kita untuk menolak ujian yang diberikan. Siapalah kita untuk membenci setiap ujian yang diberikan. Tidakkah kita sedar kita hanya hambaNya, yang hidupnya kita ini pun juga atas belas ehsanNya. Sedangkan telah termaktub bagi mereka yang mengaku Islam untuk mematuhi rukunNya yang meyakini bahawa setiap ketetapan adalah dari Allah dan atas kehendak Allah.
Diri ini harus perlu terus mengingati, bahawa Allah menguji bukan untuk menghukum. Allah menguji adalah untuk menegur. Untuk memanggil kita kembali pada jalanNya. Mungkin ada kesalahan yang kita lakukan yang tidak kita sedari. Mungkin ada kelalaian dalam keikhlasan hati yang kita tidak ketahui. Jadi Allah menegur. Itulah sebabnya bijak pandai menyatakan Allah menguji kerana sayang. Jadi yakinilah bahawa diri ini bertuah kerana Allah menyayangimu.
Meskipun itu bukan alasan untuk hanya berserah tanpa usaha, namun menyedari hakikat ini mampu buat diri lebih tenang untuk mengatur jalan tuju ini dengan hati yang lebih lapang. Kerana... Jika diri ini disayang Allah. Apa lagi yang perlu dikhuatiri selain untuk menyayangiNya kembali...