~ Demi Masa ~

Sunday, May 3, 2009

~:: dUhAi SaHaBaT ::~

Sahabatku..

Aku berpesan pada diri.. Setiap manusia dijadikan ALLAH unik ciptaannya. Tiada satu pun makhluk ALLAH yang sama hingga tiada langsung bezanya. Maka bersyukurlah dengan keunikkan itu, kerana di situ identiti kita terbina. Maka hiasilah keunikkan itu dengan keimanan, kerana dari situ lah nilainya kita disisi ALLAH.

Seandainya diinginkan ALLAH, hambaNYA berubah, maka akan dihadirkan ke dalam kehidupan hamba tersebut ujian dan dugaan yang harus ditempuhi. Dugaan yang disulami dengan pilihan dan bakal disudahi dengan keputusan. Pilihan yang menentukan jalan yang harus dituju dan keputusan yang akan membentuk jiwa yang jitu atau terus tewas disitu.

Dugaan bukanlah sesuatu yang mudah, makin besar peranan hati menghadapi dugaan itu, maka makin utuhlah peribadi yang bakal dibentuk. Asalkan hati itu sentiasa dikawal dengan akal fikiran. Beserta semangat dan diri yang dibajai dengan keimanan.

Bersangka baiklah terhadap ALLAH dan pada setiap dugaan dan rintangan yang dilalui. Kerana ia mungkin satu persediaan untuk kita menempuhi sesuatu yang lebih sukar, maka dibentuklah hati kita semoga semakin kental. Ketahuilah, setiap peristiwa disusuli dengan pengajarannya. Samada kita dapat melihatnya atau tidak, hanya akal yang dapat menilai.

Jangan sesekali serik untuk meminta dari ALLAH, kerana sesungguhnya hanya DIA yang Maha Mengetahui dan Maha Mendengar. Andainya dirasa permintaan itu tidak diterima. Ingatlah ianya itu hanyalah samada ditunda, atau bakal diganti dengan sesuatu yang lebih baik. Itu janjiNYA. Yakinlah pada ketentuanNYA. Nescaya akan aman dan tenang disisiNYA.

Jadikanlah doa sebagai teman , istigfar sebagai sahabat, ketabahan hati sebagai bekalan, bersulamkan senyuman penyubur iman. Ikrarkanlah dihati pesananku ini." Andai ku di campak ke tengah lautan manusia, ku tahu ku masih sendiri seandainya hati tak mengenali cinta yang azali. Namun andainya cinta hakiki hadir di hati ini, ku takkan gentar walau aku ditinggalkan sendiri, kerana cinta yang ku cari telah ku temui..."

Wallahu'alam..